Arsene Wenger Dedah Punca Mengapa Ozil Gagal Menyerlah Di Piala Dunia

Izuddin oleh Izuddin 4 bulan yang lalu

Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata beliau tidak 'mengenali' Mesut Ozil yang bermain di Piala Dunia 2018 bersama pasukan kebangsaan Jerman.

Pemain tengah Arsenal itu gagal mempamerkan prestasi terbaik beliau di Russia dan menjadi sasaran pengkritik berikutan prestasi buruk Jerman dalam Piala Dunia. Jerman tewas 2 dari 3 perlawanan peringkat kumpulan dan menamatkan kempen Piala Dunia di kedudukan terakhir kumpulan mereka.

Bapa Ozil pernah berkata jika beliau adalah Ozil, sudah lama beliau bersara dari pasukan kebangsaan kerana sering menjadi kambing hitam setiap kali Jerman kalah

Walaupun hadir selaku juara bertahan, Jerman gagal menepati ramalan yang diletakkan terhadap mereka dan lebih memalukan, Jerman tumpas di tangan Korea Selatan pada perlawanan terakhir kumpulan.

Ozil bermain dalam dua perlawanan iaitu ketika menentang Mexico dan Korea Selatan. Malang buat Ozil, kedua-dua perlawanan tersebut berakhir dengan kekalahan dan segelintir pihak menyalahkan Ozil atas persembahan hambar Jerman.

Ada juga pihak yang mendesak supaya Ozil tidak dipilih lagi untuk menyarung jersi Jerman pada masa hadapan walaupun pemain tersebut baru sahaja berusia 29 tahun.

Selain itu, Ozil dan rakan senegaranya, Ilkay Gundogan menarik perhatian ramai apabila pergi berjumpa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum bermulanya Piala Dunia. Tindakan tersebut mengundang kritikan rakyat Jerman yang mahu Ozil dan Gundogan dikecualikan dari menganggotai skuad Jerman kerana didakwa tidak 'patriotik'.

Ozil mencipta 7 peluang untuk menjaringkan gol ketika menentang Korea Selatan, rekod paling tinggi dalam satu perlawanan di Piala Dunia 2018

Pengurus yang bertanggungjawab membawa Ozil ke Emirates pada tahun 2013, Arsene Wenger mendakwa perjumpaan tersebut telah menjejaskan fokus dan prestasi Ozil di Piala Dunia.

"Saya sangat mengenali Ozil, beliau merupakan pemain bola sepak yang sangat menakjubkan tetapi Ozil dan Gundogan menerima kesan dari apa yang berlaku sebelum Piala Dunia bermula."

"Di Jerman, Ozil telah dipersalahkan atas apa yang berlaku walaupun Ozil merupakan pemain yang perlu diberikan sokongan. Beliau tidak memerlukan sebarang kontroveris."

"Apabila saya melihat beliau bermain, saya dapat rasa ada beberapa situasi ketika perlawanan dimana beliau mampu naik ke atas dan bermain lebih ke hadapan."

"Beliau bermain dengan cara yang lebih selamat, dan saya berfikir itu bukan cara bermain sebenar Mesut Ozil yang saya kenal. Ozil yang saya kenal tahu bagaimana untuk menghukum pihak lawan."

Turunkan handbrake tu Ojilll

"Ozil bermain ok tetapi beliau bermain tanpa diberikan kebebasan yang penuh. Beliau bermain dengan sedikit 'handbrake' dan Gundogan pula tidak bermain langsung. Gundogan merupakan pemain yang sangat bagus!"

Wenger dan Ozil tidak lagi akan bekerjasama musim depan selepas pengurus berasal dari Perancis itu meninggalkan kelab yang dipimpinnya selama 22 tahun hujung musim lepas.

Ozil akan bermain dibawah bekas pengendali Paris Saint-Germain, Unai Emery untuk saingan musim hadapan dan berharap mampu membawa Arsenal kembali ke saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas ini.




Paparkan Komen