Arsenal Sedia Jual Sanchez, Sasar Malcom Sebagai Pengganti

Izuddin oleh Izuddin 5 bulan yang lalu

Arsenal bersedia untuk melepaskan Alexis Sanchez bulan ini jika mereka menerima tawaran yang mencukupi dari Manchester City.

Arsenal juga telah mengenalpasti pemain muda Bordeaux, Malcom sebagai pengganti utama jika Sanchez jadi berpindah.

Malcom mungkin menjadi penambahan terbaru Tadika Kemas Arsenal

Untuk menggantikan pemain sehebat Sanchez mungkin sukar kerana pemain antarabangsa Chile ini adalah antara pemain yang banyak menyumbangkan gol dan assist buat Arsenal.

Malcom pula baru berusia 20 tahun dan sepanjang 21 penampilan beliau dalam Ligue 1 musim ini, hanya berjaya menjaringkan 7 gol dan membuat 5 assists.

Berita terbaru ini telah dilaporkan oleh wartawan BBC, David Ornstein petang semalam. Beliau dianggap sumber paling tepat jika ianya berkenaan polisi perpindahan Arsenal.

Ornstein melaporkan Arsenal sudah menerima Sanchez bakal berpindah bulan ini tetapi mahu yuran perpindahan sekitar £35 juta untuk Sanchez.

Lepaskan aku Wenger

City enggan membayar jumlah tersebut dan hanya bersedia untuk membayar £20 juta sahaja. Tetapi perbincangan masih diteruskan dan harga Sanchez mungkin dipersetujui pada angka £25-30 juta.

Jika kata sepakat gagal dicapai di antara kedua kelab ini, Sanchez akan meninggalkan Arsenal secara percuma hujung musim nanti dan senario ini pastinya tidak diingini Arsenal kerana mereka tidak akan menerima apa-apa.

Laporan tidak rasmi juga memberitahu jika Sanchez terus kekal bersama Arsenal dan menyertai City secara percuma musim hadapan, beliau akan menerima bonus berjumlah £30 juta sebagai ganjaran kerana menolak tawaran kelab luar yang lain seperti Paris Saint-Germain.

Terdapat juga laporan mengatakan Jose Mourinho turut berminat untuk mendapatkan khidmat Sanchez.

Tiada lagi kelibat Coq dan Cott di Emirates

Tetapi BBC tidak memyebutnya langsung kerana tahu peluang Sanchez ke Old Trafford sangat tipis dengan pemain ini sudah memasang niat untuk bermain dengan City.

Jendela perpindahan Januari kali ini bertukar menjadi jendela yang agak sibuk buat Arsenal dengan Francis Coquelin secara rasmi berpindah ke Valencia.

Theo Walcott juga hangat dikaitkan dengan Southampton dan Everton selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama musim ini.

Everton mungkin menjadi destinasi Walcott seterusnya kerana mereka mampu membayar yuran perpindahan dan gaji yang diminta berbanding Southampton yang mahu meminjam pemain ini terlebih dahulu.




Paparkan Komen