Andy Robertson Diundi Sebagai Bek Kiri Terbaik Dunia Mengatasi David Alaba & Jordi Alba

Izuddin oleh Izuddin 2 bulan yang lalu

Laman sesawang bola sepak tersohor, SPORTbible baru sahaja menjalankan undian untuk mengenal pasti siapakah bek kiri terbaik dunia ketika ini.

Dalam undian tersebut, seramai empat pemain telah disenarai pendek bagi membolehkan peminat bola sepak memilih siapa yang berhak memegang gelaran sebagai 'left-back' terbaik di dunia sekarang.

Robertson pemain terbaik dunia di posisi bek kiri menurut undian peminat di SPORTbible. Anda setuju ?

Empat pemain tersebut adalah Andy Robertson (Liverpool), Jordi Alba (Barcelona), David Alaba (Bayern Munich) dan Alex Sandro (Juventus). Malangnya tiada tempat untuk pemain Manchester United, Luke Shaw mahupon Marcos Alonso.

Seramai 30,000 pelayar alam maya meluangkan masa untuk membuang undi demi memilih siapa yang berhak bergelar bek kiri terbaik dunia.

Seperti diduga, pemain antarabangsa Scotland, Andy Robertson menerima undian tertinggi dengan 43%, jauh meninggalkan pesaing terdekat, Jordi Alba yang hanya menerima 20%.

Alba sekadar di tangga ke-2 walaupun memenangi pelbagai trofi bersama Barcelona

Memang tidak dapat dinafikan Robertson melalui musim yang cukup cemerlang bersama Liverpool musim ini. Beliau merupakan antara pemain pertama yang akan disenaraikan dalam kesebelasan utama The Reds dalam setiap perlawanan.

Liverpool menandatangani Robertson dari Hull City pada tahun 2017 dengan yuran perpindahan serendah £8 juta. Ia merupakan jumlah yang amat kecil dibandingkan dengan apa yang dibayar Manchester United untuk pemain gemuk seperti Luke Shaw dan Manchester City untuk pemain yang kerap cedera seperti Benjamin Mendy.

Robertson melalui permulaan yang agak perlahan bersama Liverpool kerana beliau perlu bersaing dengan Alberton Moreno dan pemain serba boleh, James Milner di posisi bek kiri.

Sebaik sahaja Robertson menyesuaikan diri dengan persekitaran Liverpool, beliau tidak menoleh ke belakang lagi.

Robertson berjaya mengenepikan cabaran Moreno dan Milner untuk menjadikan posisi bek kiri miliknya secara mutlak musim ini.

Prestasi cemerlang Robertson akhirnya membuka hati Liverpool untuk menawarkan kontrak yang lebih lumayan kepadanya baru-baru ini. Beliau menurunkan tandatangan untuk terus kekal bersama Liverpool sehingga tahun 2024.




Paparkan Komen