Allegri Percaya Ronaldo Akan Tamatkan Kemarau Jaringan Ketika Menentang Manchester United

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri percaya Cristiano Ronaldo akan mengakhiri kemarau jaringannya apabila pasukannya turun bertemu Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi nanti,

Bintang Portugal itu masih belum menjaringkan sebarang gol di peringkat Eropah sepanjang mewakili Juventus tetapi Allegri yakin situasi itu akan berubah apabila Ronaldo turun berhadapan pasukan lamanya di Juventus Stadium dalam perlawanan yang bakal berlangsung pada pukul 4.00 pagi Khamis waktu Malaysia.

Allegri yakin Ronaldo akan jaringakn gol menentang United awal pagi nanti.

Antara punca utama Ronaldo masih belum membuka jaringannya di peringkat Eropah adalah kerana beliau dilayangkan kad merah ketika Juventus bertemu Valencia tidak lama dahulu. Beliau kembali dari penggantungan ketika menentang Manchester United dan berjaya mencipta gol jaringan Paulo Dybala.

Walau bagaimanapun, Ronaldo sudah lama tidak menjaringkan gol di peringkat Eropah dan kemaraunya kini sudah memasuki 5 perlawanan. Namun begitu, Ronaldo masih mendapat kepercayaan Allegri dan pengurus berasal dari Itali itu yakin keadaan akan berubah tidak lama lagi.

"Ronaldo akan menjaringkan gol pada hari Rabu nanti [awal pagi esok]."

"Beliau tidak bermain dalam perlawanan pertama, beliau tidak bermain dalam perlawanan kedua, dan setakat ini hanya bermain satu perlawanan sahaja. Dan dalam perlawanan itu, beliau berjaya mencipta assist."

Ronaldo berjaya cipta gol Dybala ketika Juventus menang di Old Trafford bulan lepas.

"Maksud saya, beliau tidak banyak terlibat dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah kami setakat ini."

Untuk rekod, Manchester United berjaya memenangi dua perlawanan terakhir mereka di Turin, iaitu pada tahun 1999 dan 2003. Tapi perlu diingat, Juventus hanya tewas sekali dalam 35 perlawanan di tempat sendiri sejak kali terakhir mereka tewas di tangan United.

Peminat Setan Merah juga perlu sedar yang mereka tidak boleh bersandar pada kenangan dan sejarah semata-mata kerana dua kemenangan itu dicipta ketika zaman kegemilangan United dibawah pemerintahan Sir Alex Ferguson.

Jika dibandingkan era Ferguson dengan rejim Jose Mourinho ketika ini, bagaikan langit dengan bumi. Tidak layak untuk dibandingkan kerana terlalu hina.

Tambahan pula, anak buah Mourinho gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua perlawanan terakhir Eropah mereka, iaitu ketika seri tanpa jaringan dengan Valencia dan tewas 0-1 di tangan United beberapa minggu yang lalu.

Juventus pula masih lagi mengekalkan rekod sempurna mereka dalam kumpulan H dan akan layak secara automatik ke peringkat kalah mati sekiranya mampu mengelak dari tewas menentang Red Devils awal pagi nanti.

Ronaldo angkat tangan sebagai tanda hormat kepada Setan Merah yang pernah membelainya suatu ketika dahulu

Sekiranya Ronaldo berjaya menjaringkan gol nanti, beliau akan terus melebarkan jurang ke atas Lionel Messi dalam saingan untuk bergelar pemain paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah.

Ronaldo kini mengumpul 120 gol manakala Messi sedikit ketinggalan di belakang dengan mengumpul 105 gol.




Paparkan Komen