Alex Iwobi Bakal Didenda Selepas Berparti Sakan Malam Sebelum Perlawanan Nottingham Forest

Izuddin oleh Izuddin 8 bulan yang lalu

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata Alex Iwobi akan menerima denda dari kelab selepas dilihat menghadiri satu parti kurang 48 jam sebelum perlawanan Arsenal menentang Nottingham Forest Ahad lalu.

Pemain berusia 21 tahun ini adalah produk akademi Arsenal dan kini dianggap salah seorang pemain utama dalam pasukan. Gambar Iwobi berparti telah ditangkap dan tersebar dalam media sosial dengan laporan mengatakan beliau berparti sehingga awal pagi Ahad, dimana perlawanan Arsenal akan berlangsung beberapa jam selepas itu.

Parti dulu baru main

Dalam perlawanan tersebut, Arsenal yang juga juara bertahan Piala FA terkeluar dari pertandingan tersebut apabila dikejutkan Nottingham Forest 4-2 dengan Iwobi diletakkan dalam kesebelasan utama oleh Wenger. Beliau antara pemain yang beraksi buruk dalam perlawanan tersebut.

Walaubagaimanapun, Wenger mengesahkan Iwobi memang ada menghadiri parti tetapi ianya berlaku pada malam Jumaat, dan bukannya pada malam Sabtu. Wenger memberitahu pemain yang terlibat dalam perlawanan tersebut tinggal di hotel pada hari Sabtu menjelang perlawanan yang berlangsung pada hari Ahad.

parti buih

"Iwobi akan didenda. Parti tersebut bukan berlaku malam sebelum perlawanan tetapi 48 jam sebelum perlawanan. Malam sebelum perlawanan kami semua berada di hotel, tetapi kelakuan Iwobi tetap tidak boleh diterima. Saya akan bercakap dengan beliau berkenaan perkara ini."

"Pertama sekali pemain harus berhati-hati dengan berita yang akan keluar. Apabila saya membaca laporan akhbar mengenai perkara ini, ianya seperti Iwobi telah mengambil dadah. Saya tidak rasa beliau pernah terlibat dengan perkara-perkara sebegini."

"Beliau ada menghadiri parti tetapi berapa lamakah beliau berada di sana? Itu yang paling penting. Selepas ini, saya akan membuat keputusan berkenaan perkara ini."

"Jika jiran kamu ada mengambil dadah, apa yang kamu boleh lakukan mengenai perkara tersebut? Kamu tidak bertanggungjawab terhadap kelakuan jiran kamu."

Iwobi gagal beraksi baik dalam perlawanan tersebut

Arsenal teruk dikecam peminat selepas kalah mengejut kepada Forest dan terkeluar dari saingan Piala FA seawal pusingan ke-3. Yang lebih memalukan adalah Forest ketika itu tidak mempunyai pengurus tetap dan masih mampu menewaskan Arsenal.

Wenger membuat 9 pertukaran untuk perlawanan tersebut dan berkata beliau akan merobek pasukannya sekali lagi menjelang pertemuan separuh akhir Piala Carabao menentang Chelsea Rabu ini.

"Kami terpaksa menelan kekalahan ini berikutan ramai pemain yang tercedera dan beberapa pemain sangat memerlukan rehat. 5 atau 6 pemain kami kini mengalami kecederaan dan masih belum sembuh."

"Kami akan cuba bangkit. Ini perlawanan yang berbeza dan merupakan perlawanan separuh akhir menentang pasukan besar. Secara psikologinya, ia perlawanan yang berbeza."




Paparkan Komen