AC Milan: Ketibaan Pepe Reina Tidak Bermakna Donnarumma Bakal Dijual

Izuddin oleh Izuddin 4 bulan yang lalu

Direktor Sukan AC Milan, Massimiliano Mirabelli berkata perpindahan Pepe Reina dari Napoli ke kelab tersebut tidak bermakna Gianluigi Donnarumma akan dijual pada musim panas nanti.

Penjaga gol muda AC Milan itu hangat dikaitkan untuk meninggalkan San Siro pada jendela perpindahan akan datang, tetapi AC Milan menegaskan Reina tidak dibawa masuk untuk menggantikan tempat Donnarumma.

Ketibaan Reina tidak bermakna Donnarumma akan dijual AC Milan

Ejen Donnarumma, Mino Raiola secara terang-terangan memberitahu niatnya untuk membawa pemain muda tersebut keluar dari AC Milan. Donnarumma dianggap sebagai pewaris kepada penjaga gol legenda Itali, Gianluigi Buffon yang bakal bersara tidak lama lagi tetapi Juventus telah menafikan minat mereka terhadap Donnarumma.

Reputasi Donnarumma sebagai penjaga gol terbaik Itali sedikit tercalar selepas beliau melakukan beberapa kesilapan dalam perlawanan akhir Copa Italia, yang berkesudahan Juventus menang selesa 4-0 ke atas AC Milan. Walaubagaimanapun, perpindahan percuma Reina ke AC Milan dilakukan sebelum perlawanan akhir itu lagi.

Selain Juventus, nama Donnarumma juga telah dicanang untuk berpindah ke Paris Saint-Germain dan Liverpool. Kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau perlu berbelanja besar kerana kontraknya hanya akan tamat pada tahun 2021.

Abang botak ni pernah memenangi Sarung Tangan Emas bersama Liverpool suatu masa dahulu

Segala spekulasi perpindahan yang menyelubungi Donnarumma kebelakangan ini telah dinafikan oleh Mirabelli yang berkata pemain berusia 19 tahun itu tidak akan kemana-mana. Beliau juga mendakwa kemasukan Reina tidak akan menjejaskan tempat Donnarumma dalam pasukan utama.

"Kami mempunyai peluang untuk mendapatkan Pepe Reina secara percuma - jadi kami fikir ia satu tindakan yang agak strategik." Ujar Mirabelli kepada Mediaset Premium.

"Pasukan ini bakal ada lebih persaingan di posisi penjaga gol. Reina juga boleh membantu pasukan ini dari segi perkara luar padang disamping sumbangan beliau di atas padang. Kami memerlukan pemain berpengalaman dan Reina tergolong dalam kategori pemain tersebut."

Ejen bolasepak tersohor, Mino Raiola yang mewakili Donnarumma. Turut mewakili pemain terkenal seperti Ibrahimovic, Lukaku, Pogba dan Mkhitaryan.

"Saya pernah berkata sebelum ini, masa depan Donnarumma tidak terletak di tangan pemain itu sahaja. Keputusan mengenai masa depan Donnarumma melibatkan semua pihak. Seseorang pemain harus datang berjumpa kami terlebih dahulu dan beritahu beliau tidak mahu kekal bersama AC Milan lagi. Tetapi Donnarumma tidak berbuat demikian."

"Jika perkara tersebut berlaku pada masa hadapan, kelab yang berminat perlu bersetuju untuk membayar harga yang dipinta oleh AC Milan. Buat masa sekarang, kedua-dua keadaan masih belum berlaku."




Paparkan Komen