5 Kesilapan Terbesar Dilakukan Kelab Liga Perdana Inggeris Pada Musim Panas Lalu

Izuddin oleh Izuddin 1 minggu yang lalu

Liga Perdana Inggeris telah memasuki 11 perlawanan dan Manchester City kini selesa mendahului liga dengan kelebihan 8 mata mengatasi pencabar terdekat, Manchester United.

The Citizens masih belum mengalami sebarang kekalahan dan dilihat calon utama memenangi kejuaraan liga musim ini.

Pemilihan pemain yang tepat oleh Pep Guardiola pada tirai perpindahan lalu adalah sebab utama Manchester City bermain cemerlang dan mereka berjaya menyelesaikan masalah pertahanan yang membelenggu pasukan musim lepas.

Akan tetapi bukan semua kelab berjaya melakukan keputusan yang tepat seperti yang telah dilakukan Manchester City. Ada kelab yang menyesali tindakan mereka dan andainya masa boleh diundur, sudah pasti mereka tidak akan melakukan keputusan tersebut.

Artikel ini akan menyenaraikan 5 kesilapan terbesar yang dilakukan oleh kelab Liga Perdana Inggeris pada tirai perpindahan pemain lalu.

1. Everton gagal cari pengganti Romelu Lukaku

Everton tidak mampu untuk menolak tawaran mega £75juta dari Manchester United untuk mendapatkan Romelu Lakaku. Everton dengan berat hati terpaksa menerimanya dan berjanji untuk menggunakan hasil penjualan Lukaku untuk membawa masuk pengganti yang berkualiti.

Beberapa nama besar berjaya dibawa masuk seperti Jordan Pickford, Michael Keane, Davy Klassen dan Gylfi Sigurdsson. 4 pemain ini tiba di Goodison Park dengan jumlah perpindahan yang besar tetapi terdapat terdapat satu masalah mengenainya - kesemua mereka bukan penyerang.

Gambar : Holler Online

Untuk menggantikan tempat Lukaku, Ronald Koeman telah membawa masuk Wayne Rooney yang sudah berusia dan Sandro Ramirez yang masih muda dan cetek pengalaman. Seperti dijangka kesilapan ini telah menghantui Everton musim ini dimana mereka bergelut degan prestasi dan akibatnya Koeman telah kehilangan jawatannya.

Lukaku telah berjaya menjaringkan 7 gol bersama Manchester United setakat ini manakala seluruh pasukan Everton hanya mampu menjaringkan 10 gol dalam Liga Perdana Inggeris.

2. Penjualan Nemanja Matic ke Manchester United oleh Chelsea

Chelsea telah membuktikan mereka mampu bermain cemerlang tanpa kehadiran Nemanja Matic termasuk menewaskan Manchester United yang diperkuatkan dengan Matic minggu lepas.

Walaubagaimanapun, kehilangan Matic bermakna Chelsea tiada pengganti yang berkualiti andainya kecederaan melanda N'golo Kante atau Bakayoko.

Chelsea hanya akan meraih kejayaan andainya Kante kekal cergas kerana tiada pemain dalam skuad Antonio Conte yang mampu beraksi seperti pemain tengah ini.

Penjualan Matic bukan sahaja melemahkan barisan tengah The Blues, tetapi ia juga telah memperkuatkan seteru utama mereka. Pemain antarabangsa Serbia ini telah menampilkan persembahan yang meyakinkan sejak menyertai Red Devils dan dianggap pemain terbaik Manchester United setakat ini.

3. Slaven Bilic Meyakinkan West Ham Untuk Membeli Marko Arnautovic

Terdapat laporan mengatakan Marko Arnautovic adalah salah seorang pemain yang telah dicadangkan Slaven Bilic kepada pemilik West Ham untuk dibawa masuk ke kelab tersebut.

Malangnya, keputusan West Ham yang buruk musim ini telah menyaksikan Bilic kehilangan kerjanya dan salah satu faktor beliau dipecat adalah prestasi buruk yang ditampilkan pemain yang dibeli dengan rekod pembelian kelab, Marko Arnautovic.

Arnautovic telah dibawa masuk dalam perjanjian bernilai £20juta untuk mengetuai barisan serangan bersama seorang lagi pemain baru, Javier Hernandez. Walaubagaimanapun, Arnautovic gagal mencipta atau menjaringkan gol sepanjang 7 perlawanan yang disertainya setakat ini.

Detik yang paling tidak boleh dilupakan peminat West Ham adalah ketika beliau menerima kad merah dalam perlawanan menentang Southampton. Bilic telah kehilangan jawatannya sebagai pengurus minggu lalu dan telah digantikan oleh David Moyes.

4. Keengganan Liverpool Untuk Membeli Pertahanan Tengah Selepas Terlepas Virgil van Dijk

Selepas Manchester City, barisan serangan yang dimiliki Liverpool adalah yang terbaik dalam kalangan pasukan Liga Perdana Inggeris. Walaugaimanapun, apa yang menggusarkan peminat Liverpool adalah barisan pertahanan mereka yang terkenal dengan kerapuhannya.

Liverpool telah melepaskan 17 gol setakat ini dan hanya Watford melepaskan lebih banyak gol daripada mereka dalam kalangan pasukan 10 teratas liga.

Pelan asal Jurgen Klopp untuk mendapatkan Virgil van Diijk tidak kesampaian selepas Southampton menuduh Liverpool cuba memancing van Diijk menggunakan saluran yang tidak sah.

Klopp tetap dengan pendiriannya untuk mendapatkan van Diijk sahaja dan sanggup menunggu sehingga musim hadapan. Kesilapan Klopp untuk tidak mencari alternatif lain telah memakan diri dan akibatnya Liverpool gagal bersaing dengan pasukan teratas liga kerana kerapuhan barisan pertahanan mereka.

Dejan Lovren dan Ragnar Klavan gagal untuk menampilkan persembahan yang meyakinkan disamping Joel Matip dan peminat Liverpool nampaknya terpaksa menunggu lebih lama untuk melihat pasukan mereka menjulang trofi Liga Perdana Inggeris.

5. Keengganan Arsenal Melepaskan Alexis Sanchez

Pada hari terakhir tirai perpindahan pemain lalu, Alexis Sanchez hampir pasti untuk melengkapkan perpindahannya ke Manchester City dan hanya menunggu lampu hijau dari Arsenal sahaja.

Walaubagaimanapun, perpindahan tersebut dibatalkan pada saat terakhir kerana Arsenal gagal mencari pengganti untuk Alexis Sanchez selepas Thomas Lemar menolak lamaran Arsenal.

Walaupun ramai yang memuji tindakan Arsenal yang sanggup kehilangan Sanchez secara percuma hujung musim nanti, kegagalan mereka untuk menjual Sanchez adalah satu kesilapan selepas melihat prestasi Sanchez musim ini.

Pemain antarabangsa Chile ini seperti telah kehilangan sengat dan semangat juang apabila menyarung jersi Arsenal. Ketika kekalahan Arsenal di tangan Manchester City minggu lepas, Sanchez beraksi hambar dan sering kehilangan bola. Gerak badannya yang selalu merungut dan kecewa memberi kesan negatif kepada rakan sepasukannya.

Arsenal bukan sahaja kehilangan peluang untuk meraih sejumlah wang besar hasil penjualan Sanchez, tetapi juga perlu membayar gaji yang tinggi kepada pemain yang hatinya tidak mahu lagi bermain di Emirates.




Paparkan Komen